Grab the widget  IWeb Gator

Selasa, 22 Jun 2010

Kategori : AKIDAH Akhlak

Tajuk :
Menjadi Saksi Allah
Hadith :
Dari Anas r.a katanya:”Suatu arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. “Ya, pasti.” Berkata rasulullah s.a.w. menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula:”Mayat yang jahat.” Berkata Rasulullah saw.:”Ya, pasti!” Maka bertanya Umar bin al-Khattab:”Apakah yang pasti ya Rasulullah?” jawab baginda:”Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke naraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.”

(Bukhari)



Huraian
Salah satu fakta terbesar dalam hidup manusia adalah kepastian akan berpisahnya seseorang itu dengan segala apa yang dimilikinya di dunia ini. Ajal adalah suatu yang tidak mampu dielak. Dan kematian itu adalah kejadian yang tepat pada waktunya tetapi sayang, kebanyakan manusia selalu merasa akan hidup seribu tahun lagi. Seharusnya kita hendaklah sentiasa beringat sebelum datangnya Malikulmaut menjemput untuk pulang, perbanyakanlah amal ibadat dan jauhkanlah segala tegahan serta lakukan apa yang disuruh. Namun sekiranya larangan juga yang dikerjakan maka dalam nerakalah seseorang itu akan dicampakkan dan manusia menjadi saksi di atas segala perbuatan jahat yang dilakukannya itu. Sesungguhnya juga Allah tidak memandang darjat seseorang itu melainkan berdasarkan banyak atau sedikitnya amalan yang dilakukan sehingga melayakkan dia menerima nikmat di akhirat kelak. Oleh itu jangan kita lupa untuk mengingati mati.

Kategori : AKIDAH Akhlak

Tajuk : Kepimpinan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.

Riwayat Muslim

Huraian

i) Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.
ii) Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.

iii) Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.

iv) Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.

Hujah 2009: Ep 18

Hujah 2009: Ep 18