KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar (gambar)
berkata, Barisan Nasional negeri itu telah melakukan satu kesilapan
besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada tahun 2009.
“Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR
dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib
dihormati oleh semua pihak,” ujarnya yang juga Adun Tronoh dalam satu
kenyataan.
Tetapi, katanya Barisan Nasional Perak kerana ketamakan kuasa telah
merampas kerajaan rakyat itu dengan melanggar semua undang-undang yang
sedia ada.
Ujarnya lagi, Barisan Nasional telah menubuhkan kerajaan melalui
‘Pintu Belakang’ yang tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak
mahu pun Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak ketika itu.
“Barisan Nasional mengharapkan bahawa peristiwa rampasan kuasa itu
akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan oleh masa. Tetapi, andaian
Barisan Nasional itu adalah tidak benar,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah membuat perhitungan
yang terkeluar dari landasan apabila membuat andaian ‘rakyat Malaysia
mudah lupa’.
Beliau berkata, peristiwa rampasan kuasa itu telah terpahat dalam
sanubari setiap rakyat perak yang menghormati demokrasi, undang-undang
dan keadilan.
Tegasnya, walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan Barisan
Nasional Perak untuk mengalih perhatian rakyat Perak daripada isu itu,
tetapi segala usaha itu terbukti gagal.
Rakyat, ujarnya sedar bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah tidak sah atau ‘haram’ di sisi undang-undang.
“Rakyat Perak tidak akan membenarkan keadaan ini berterusan lagi.
Negeri Perak memerlukan satu kerajaan sah yang diberi mandat oleh
rakyat,” katanya.
Justeru, katanya lagi masa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak
sudah semakin hampir yang mana dalam sebulan dua ini Parlimen dan Dun
Perak akan dibubarkan, maka Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan
turun ke gelanggang pilihanraya.
Kali ini, ujar beliau Barisan Nasional pasti akan tumbang di Negeri
Perak kerana kewibawaannya telah terhakis di bawah rejim Barisan
Nasional yang tidak sah.
Katanya, rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang rasional dan
membandingkan pemerintahan Pakatan rakyat selama 11 bulan dan
pemerintahan Barisan Nasional selama 4 tahun selepas rampasan kuasa.
“Barisan Nasional tidak berjaya membawa apa-apa berubahan yang nyata
di Perak. Banyak slogan-slogan retorik seperti ‘Perak Aman Jaya’,
‘Tiada Yang Tertinggal, Tiada Yang Terpinggir’ adalah omong-omong
kosong sahaja. Rakyat tidak boleh ditipu lagi dengan janji-janji manis
yang tidak dilaksanakan,” ujarnya lagi.
Tambahan pula, ujarnya rakyat Perak juga sedar bahawa dalam tempoh 3
tahun kebelakangan ini lebih daripada 68,000 ekar tanah di seluruh Perak
telah diberikan kepada kroni-kroni Barisan Nasional dengan harga
premium tanah yang terlalu murah.
Oleh yang demikian, katanya jelas bahawa rampasan kuasa pada tahun
2009 dilakukan adalah semata-mata untuk membolot kekayaan negeri dan
memewahkan lagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya.
Menurutnya, daripada analisa yang diperolehi daripada pelbagai sumber
didapati bahawa Pakatan Rakyat Perak akan memenangi sekurang-kurangnya
40 kerusi daripada 59 kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri
Perak.
“Kemenangan yang besar ini adalah perlu untuk menjamin kesejahteraan
dan kedudukan kerajaan yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri
Perak akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi
bilangan kerusi dalam PRU13.
“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat
negeri Perak akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum
akan datang,” katanya.
Sumber dari Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan