Grab the widget  IWeb Gator

Sabtu, 22 Mei 2010

"ANAK ZINA, GENERASI MASA DEPAN MALAYSIA"

Abad mendatang adalah abad yang semakin mencabar. Kecanggihan teknologi ternyata membawa kesan yang semakin parah kepada keruntuhan akhlak dan nilai kemanusiaan. Dunia tanpa sempadan amat mudah memperolehi apa saja maklumat tanpa sebarang sekatan. Semakin hari semakin kurang manusia yang beriman. Iman merupakan penapis yang terbaik bagi orang yang beriman untuk mengambil apa sahaja yang dibenarkan oleh Allah. Malangnya umat akhir zaman makin menjauhi menjadikan Islam sebagai cara hidup apatah lagi untuk beramal dengan Islam.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa perkara yang paling disukai oleh manusia biasanya adalah perkara yang selari dengan nafsu dan keinginan mereka. Kebanyakan kesukaan tersebut adalah perkara yang terlarang di dalam agama. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 14:

" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu) , iaitu wanita-wanita, anak-anak dan hartabenda yang banyak yang melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda serta baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup didunia. (Ingatlah) disisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."

" Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada perkara kejahatan" (Surah Yusof : 53)

Nabi s.a.w telah bersabda:
"Dihiasi jalan menuju ke Syurga dengan perkara yang di benci oleh manusia dan dihiasi jalan menuju ke Neraka dengan segala keinginan manusia."

Kajian yang telah didedahkan oleh Dr. Fatimah Abdullah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia merekodkan maklumat dan angka yang diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sejak tahun 2000 hingga julai 2008 bahawa terdapat 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa tercatat nama bapa. (Anak luar nikah atau anak tidak sah taraf). Secara purata , 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari atau berlaku setiap 17 minit 17 saat. Angka ini amat menggerunkan kita. Persoalannya sekarang bagaimana pula untuk 10 tahun akan datang. Atau angka sebelum tahun 2000?.

Perlu difahami bahawa kajian itu tidak mengambil kira jumlah bayi yang dibuang, disembunyikan, digugurkan, dijual, atau mati dibuang yang tidak dapat dikesan.

Jika kita unjurkan lagi angka tersebut maka akan lebih menggerunkan lagi dan tidak syak lagi generasi kita akan datang adalah dari kalangan anak luar nikah sedangkan Islam amat menjaga nasab dan keturunan dengan melaksanakan hukuman zina. Kalau jumlah anak luar nikah yang didaftarkan (bagi bayi Islam atau bukan Islam) dalam tempoh 10 tahun adalah lebih suku juta. Maka kebarangkalian anak yang tidak didaftarkan adalah juga suku juta. Bagaimana pula anak yang dibuang samada yang dijumpai mayatnya atau tidak dijumpai kerana ditanam, atau di buang lalu dimakan anjing atau ular atau ikan atau di buang dalam lubang tandas. Katakan jumlahnya juga suku juta. Termasuk yang masih dalam kandungan lalu digugurkan, saya rasa jumlahnya lagi besar dan katalah ianya suku juta. Maka jumlah hasil perzinaan dalam tempoh 10 tahun adalah 1,000,000 orang.

Jika hasil anak luar nikah adalah sejuta orang maka pelaku zina pula adalah dua kali ganda kerana pelakunya dalah lelaki dan perempuan, maka jumlahnya adalah 2,000,000 orang. Golongan pelacur samada tempatan atau luar negara di negara kita dijangkakan hampir sejuta orang. Golongan homoseks, lesbian, pengkid, lelaki dan perempuan simpanan juga golongan maknyah dan pondan. Tidak dikira pula mereka yang berzina tetapi memakai kondom atau mengeluarkan mani di luar perlu diambil kira. Maka dijangkakan bahawa penzina bserta hasilnya dalam tempoh 10 tahun boleh mencecah seramai 5 juta orang, sama dengan penduduk Negeri Selangor.

Menurut Laporan kajian oleh Durex & Durex , mendapati Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah dikalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003) dan 86 kali setahun (kajian 2004) berbanding Jepun yang hanya 37 kali setahun (2001).

Turut direkodkan , remaja perempuan di Malaysia didapati kehilangan dara pada usia muda iaitu 20 tahun (kajian 2001) dan ketika berumur 19 tahun ( kajian 2004).

Melalui angka-angka tersebut, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Johor adalah negeri-negeri yang mencatatkan kelahiran tidak sah taraf dengan peratusan bagi setiap negeri terbabit melebihi 10 peratus. Walaupun begitu , ujar Dr. Fatimah, faktor yang mungkin relevan dalam konteks ini ialah penghijrahan golongan muda dari negeri-negeri lain ke Kuala Lumpur dan Selangor. Disamping itu faktor penyumbang gejala ini ialah kerana tidak mengamalkan Islam, keruntuhan rumah tangga ibu bapa, persekitaran sosial yang bebas, termasuk mangsa rogol, dadah dan gaya hidup.

Kalaulah kaum Nabi Lut yang terlibat dengan homoseks ditimpakan bala oleh Allah maka tidak mustahil kita juga berdepan dengan kemurkaan Allah. Dengan merebaknya berbagai-bagai berjangkit seperti Aids, H1N1, denggi juga malapetaka seperti panas yang melampau, gempa bumi,banjir, thunami, ribut taufan, pembunuhan yang menjadi-jadi dan banyak lagi , mungkin itu adalah merupakan bala Allah s.w.t.

Maka sedar dan insaflah kita. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah perlaksanaan undang-undang jenayah syariah perlu dilaksanakan, penguatkuasaan undang-undang , penerangan, kempen, dakwah bagi menyedarkan orang ramai adalah amat perlu bagi memastikan gejala ini dapat dibendung dan dikurangkan.

Ingatlah firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:

" Dan janganlah kamu hampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israk : 32)

" Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hokum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman" ( Surah An-Nur: 2)

Susunan :

Ustaz Khairuddin Haiyon
Unit Penerangan dan Penerbitan
Bahagian Dakwah JAIS

Selasa, 4 Mei 2010

Telaga Minyak Malaysia tergadai: Kesilapan Abdullah Penerusan Najib

Tun M dalam posting terbarunya mempersoalkan terlepasnya dua medan Minyak Blok L dan M milik Malaysia kepada Brunei.
Ia mungkin sebahagian dari persetujuan yang ditandatangani oleh Pak Lah dengan Sultan Brunei pada 16 Mac 2009 - Letters of Exchange (LoE) - 19 hari sebelum Najib mengambil alih sebagai Perdana Menteri.
Apa yang dipersetujui Pak Lah diteruskan oleh Najib. Surat Petronas untuk menamatkan perjanjian perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil Corp telah dikeluarkan pada 7 April baru lalu. Di Bawah CEO baru Petronas dalam era Najib. Lagipun, Najib masa itu adalah TPM.
Murphy Oil mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan penamatan perjanjian oleh Petronas itu dan seorang Menteri Brunei pula mengesahkan kedua-dua blok minyak yang dulunya menjadi milik Malaysia telah secara rasmi menjadi milik Brunei.
Acara penandatanganan itu ikut dihadhiri oleh kedua-dua Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, serta Menteri Luar waktu itu, Rais Yatim dan Menteri Kabinet, Hishammuddin Tun Hussien - seperti laporan Bernama bertarikh 16 Mac 2009.
Rais dan Hishamuddin masih menjadi anggota Kabinet sekarang dan tentulah mereka boleh memberikan penjelasan atas pelepasan khazanah berharga kita semudah itu. Bahkan seluruh kabinet Najib harus bertanggungjawab dan memberikan penjelasan.
Tun M mengganggarkan paling kurang USD 100 B atau RM 320 B khazanah kekayaan negara kita terlepas kepada Brunei.
Bayangkan! Untuk membayar royalti yang terhak kepada Kelantan yang bernilai hanya beberapa billion, mereka menggunakan berbagai alasan untuk menafikannya. Pada masa yang sama, mereka sanggup melepaskan khazanah yang beribu kali lebih tinggi nilainya dengan sebegitu mudah.
Janganlah Tun M hanya nampak kelemahan Pak Lah tanpa berani bertanya Najib kenapa surat penamatan rasmi dikeluarkan oleh Petronas dan secara terang menyebut pemilikan Malaysia ke atas Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia.
Isu sebesar ini hanya layak dijawab oleh PM.
Pilihanraya Sibu memberi peluang rakyat Sarawak memberikan pandangan awal mereka tentang sebahagian kekayaan negeri mereka juga telah tergadai.

Serah dua telaga minyak suatu penderhakaan

Senator PR kemuka usul serah wilyah ke Dewan Negara

Ahad, 2 Mei 2010

"ADAB IKHTILAF DALAM ISLAM"

Manusia bebas untuk berfikir dengan anugerah akal kurniaan Allah S.W.T. Menggunakan nikmat akal dengan cara yang betul dapat membawa kepada kebaikan. Kita juga dikurniakan nafsu sebagai satu keperluan tetapi nafsu banyak mengarah kepada kejahatan. Akal dan nafsu sentiasa berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh Syariat Allah S.W.T.
Umat Islam hari ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang amat membimbangkan ialah pertembungan yang bersifat perdebatan. Sehingga apa yang telah dinyatakan oleh nabi S.A.W bahawa perselisihan dikalangan umatku adalah satu rahmat kadang-kadang berlaku sebaliknya iaitu menjadi perpecahan. Ini bukan sahaja akan membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran.

PENGERTIAN IKHTILAF

Ikhtilaf dalam bahasa arab membawa maksud : tidak sependapat atas sesuatu perkara. Dalam ertikata lain setiap orang mengambil yang berbeza samada dalam perkataan maupun pendapat.
Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf. Sementara Khilaf ialah pertentangan atau berlawanan. Maka ia memberi makna sama dengan ikhtilaf walaupun maknanya lebih umum.
Al-Imam al-Syatibi berpendapat bahawa :
Al-Klilaf ialah suatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan dan bukan hasil dari mencari objektif syarak dengan mengikut dalil-dalinya. Ikhtilaf pula ialah:

1. Pendapat-pendapat yang lahir dari ulama mujtahahidin dalam masaalah-masaalah ijtihadiyyah yang tiada nas qat'ei padanya.
2. Pendapat-pendapat terhadap masaalah-masaalah yang berlaku diantara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan tersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.

PANDANGAN FUQAHA MENGENAI KHILAF

Para Fuqaha telah menggunakan al-Ikhtilaf dan al-Khilaf dengan makna yang sama iaitu: " Sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah ( masalah yang tida nas ) tanpa memandang betul atau salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan".
Jika ijtihad itu betul mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala. Menjadi satu adab yang dilakukan oleh mereka bahawa mereka tidak menyalahkan diantara satu sama lain bahkan menghormati antara sesama mereka.
Dr. Yusof Al-Qardawi telah memberikan pandangan bahawa memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada ulama' yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka lebih dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama.
Oleh yang demikian Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah beasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan emosi.

SEBAB-SEBAB IKHTILAF DALAM ISLAM

Islam memerintahkan kepada kita supaya bersatu dan bermuafakat serta melarang berpecah belah dan berselisih pendapat. Dalam Al-Quran Allah S.W.T telah menyatakan:
"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara"
Islam tidak melarang ikhtilaf tetapi perlu dijaga adab dan etikanya. Jangan sampai membawa kepada perpecahan dikalangan umat Islam. Namun ikhtilaf pasti berlaku tetapi jika tidak dijaga disiplin dan adabnya ia akan menimbulkan implikasi yang buruk dan mengaibkan dalam masyarakat Islam. Di antara perkara yang berlaku ialah:

1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar.
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain.
3. Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri dan mempersulit kaedah-kaedah dalam menentukan hukum.
4. Sikap taksub terhadap pegangan tertentu sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan menganggap pendapatnya sahaja yang betul.
5. Jahil dalam memahami Sumber-sumber Hukum syara' yang telah disepakati oleh para Fuqaha' iaitu Al Quran, Hadis, Ijma' dan Qias serta sumber-sumber hukum syara' yang tidak disepakati oleh Fuqaha.
6. Banyak terjebak dengan masaalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah istilah sehingga membahayakan pemikiran umat Islam.

PEMBAHAGIAN KHILAF

Khilaf terbahagi kepada 2 bahagian:

1. Khilaf yang dicela
Khilaf ini berpunca dari 4 sebab:
Kejahilan, Kezaliman dan penderhakaan, Mengikut hawa nafsu, Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum syara' dan cara mengamalkannya.
2. Khilaf yang harus dan dapat diterima akal
Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku dikalangan ulama' mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat'ei namun khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:
1. Hendaklah khilaf itu berlaku dikalangan ulama' fiqh dan orang-orang yang berkelayakan dalam bidang agama.
2. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masaalah furuiyyah yang tiada dalil-dalil qat'iy berhubung dengan hukumnya.
3. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul.
4. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran khilaf seperti ini juga berlaku dikalangan para sahabat dan tabi'in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja untuk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan.

BEBERAPA ETIKA KETIKA BERLAKU KHILAF

Di saat berbeza pendapat baik dalam suatu majlis atau bukan, sebagai seorang muslim kita berupaya untuk menjaga adab-adab berikut:
1. Ikhlas dan mencari yang hak serta melepaskan diri dari hawa nafsu.
2. Berlapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat dari saudara seagama.
3. Menghindari sikap menonjolkan diri, membela diri serta mencari kemasyhuran publisiti murahan.
4. Berbincang dan bermuzakaran dengan cara dan kaedah yang terbaik.
5. Tidak menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat sebagai sesat, bid'ah dan khurafat jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka.
6. Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengemukakan pendapat atau hujjah samaada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.
7. Menghormati pandangan orang lain sebagaimana peristiwa Saidina Abu Bakar menerima cadangan tentang pengumpulan Al-Quran dari Saidina Umar.
8. Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama' mujtahin dalam pelbagai mazhab.
9. Tidak perlu memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam perkara khilafiah kecuali amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati oleh para ulama'.
10. Berbaik sangka kepada orang yang berbeza pendapat dengan kita dan tidak menuduh buruk niatnya, mencela dan menganggapnya cacat.
11. Berusaha untuk tidak memperuncing perselisihan, iaitu dengan cara menafsirkan pendapat yang keluar dari lawan atau yang dinisbahkan kepadanya dengan tafsiran yang tidak baik.
12. Tidak mudah menyalahkan orang lain, kecuali sesudah penelitian yang mendalam dan difikirkan secara matang.
13. Sedapat mungkin menghindari permasalahan-permasalahan khilafiyah dan fitnah. Berpegang teguh dengan etika berdialog dan menghindari perdebatan, bantah-membantah dan kasar menghadapi lawan.

Disediakan Oleh :
Bahagian Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor

Mafrel: SPR Perlu Kemuka Laporan Kepada Parlimen

SHAH ALAM 2 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)perlu menghantar laporan pilihan raya ke Parlimen supaya anggota Dewan Rakyat boleh membahaskan kandungan laporan bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat terhadap badan itu.
Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh sepanjang pengetahuannya SPR tidak pernah menghantar sebarang laporan kepada Parlimen untuk diteliti dan dibahaskan.
Beliau berkata ini adalah perlu bagi mengelak sebarang persoalan dan percanggahan pendapat yang timbul selepas tamatnya satu-satu pilihan raya.
"Walauoun SPR tidak diwajibkan untuk memberi laporan pilihan raya kepada mana-mana pihak amalan ini perlu diubah jika SPR ingin dilihat sebagai satu badan yang telus dan adil.
"Parlimen perlu mendesak dan meneliti laporan SPR setiap kali adanya pilihan raya sebagai satu kaedah kawalan untuk memastikan ketelusan SPR," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Syed Ibrahim juga menambah keyakinan rakyat semakin berkurangan terhadap SPR dan pilihan raya yang dikendalikan badan itu kerana wujudnya pelbagai dakwaan kepincangan, yang terbaru semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Beliau menerangkan walaupun SPR memantau dan melaksanakan pilihan raya, isu salahlaku pilihan seperti aduan provokasi dan percanggahan tempat mengundi perlu dikemukakan kepada pihak polis untuk disiasat dan diambil tindakan.
Begitu juga jika terdapat aduan rasuah, perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Wujudnya halangan bidang kuasa SPR dengan PDRM dan SPRM menyebabkan sesuatu isu tidak dipantau oleh SPR tetapi SPR boleh mengambil inisiatif untuk memastikan isu tersebut diselesaikan," kata Syed Ibrahim.
Katanya lagi, perlu ada kemahuan dari pihak SPR untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan pilihan raya walaupun ianya di luar bidang kuasa SPR.
Dalam pilihan raya Hulu Selangor yang lalu, campurtangan pihak lain dalam urusan SPR perlu dihentikan bagi memastikan SPR mampu berfungsi sebagai badan yang bebas dan adil.
"Perlu ada satu reformasi besar di dalam SPR supaya campurtangan pihak lain dapat dihapuskan sama sekali dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada perlaksanaan pilihan raya oleh SPR," tegas Syed Ibrahim.