Grab the widget  IWeb Gator

Ahad, 17 November 2013

Muktamar PAS ke-59 disiar secara langsung

Perjalanan Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 pada 22 hingga 24 November ini akan disiarkan secara langsung melalui webtv PAS (http://webtv.pas.org.my) dan juga radio internet hijau.fm terutamanya pada hari perasmian. Jabatan IT PAS Pusat (JITP) juga telah memembangunkan laman web khusus untuk muktamar PAS ke-59 pada kali ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, JITP ditugas mengendalikan urusan yang berkaitan dengan akses internet dan lain-lain perkara berkaitan dengan IT bagi memastikan kelicinan muktamar. Pengarah JITP Suhaimi Embong, berkata, web muktamar-59 ini boleh diakses di alamat http://muktamar59.pas.org.my meliputi aturcara, jawatankuasa, berita-berita berkaitan dengan muktamar, koleksi video dan album muktamar terdahulu serta lain-lain perkara berkaitan dengan muktamar yang akan dikemaskinikan dari masa ke semasa. “Web muktamar ke59 ini diadakan bagi tujuan untuk memudahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta rakyat Malaysia mendapat maklumat berkaitan dengan muktamar PAS melalui sumber-sumber rasmi parti secara langsung” katanya yang juga Ketua jawatankuasa IT Panitia Muktamar.

Sabtu, 2 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU

Pada tanggal 4.11.2013 sejarah bakal tercipta di Dun Sungai Limau apabila akan berlaku PRK apabila penyandang iaitu Armarhum Ust Azizan Razak kembali ke Rahmatullah. Ini merupakan sesuatu yang menarik bagi penduduk Di Dun Sungai Limau kerana segala Peruntukan, Segala Projek dan Segala Bapak-bapak menteri turun ke Dun Sungai Limau bagi menjanjikan Pelbagai-bagai Projek.
Ini adalah merupakan amalan biasa apabila berlakunya PRK. Parti BN akan menggunakan segenap agensi Kerajaan dan Duit Kerajaan untuk ditaburkan di Kawasan yang terlibat dengan PRK. Semua menteri Kabinet Kerajaan akan berpusat di sana, bersilih ganti menteri-menteri yang hadir. Lepas PM datang TPM lepas Tu datang Menteri Dalam Negeri, balik MDN datang Pulak Ketua Puteri, Ketua Pemua, Ketua Wanita, Dan segala ketua yang ada di dalam BN. 
Walau apapun yang akan terjadi BN tetap mahu menang dalam Pilihanraya itu nanti. Walaupun terpaksa menggunakan Pelajar, semua agensi Kerajaan, Wang Rakyat dan sebagainya. Apa yang penting 'KERJASAMA'. Itulah antara Slogan yang digunakan, Kerjasama dengan Agensi Kerajaan bagi Menghentam Pas dan Pakatan Rakyat sepangjang Kempen PRK di Sungai Limau.
Semoga Pas dapat menegekalkan Kerusi tersebut dari Dirampas Oleh Umno BN demi untuk Agama dan Bangsa. Kezaliman Umno Bn perlu  disekat bagi kesejahteraan Rakyat Di Dun Sungai Limau Khasnya dan Di Malaysia Amnya. Allahhuakbar.


UNDILAH CALON PAS PRK SUNGAI LIMAU.

Isnin, 12 Ogos 2013

Demi sukan bola sepak, FAM perlu dirombak

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan dalam perihal bola sepak, ia perlu rombakan bukan saja dalam pasukan atau jurulatih tetapi organisasi FAM itu sendiri.

Bagi Penyelaras SAMM Melaka, Zuraidi Abdullah, cukuplah puluhan tahun tanpa kejayaan bermakna, tiada konsistensi maka sampai masanya bola sepak negara diberi nafas baru. 

“Jika dilihat pada sejarah, sejak tahun 1980-an bola sepak kita merundum, tidakkah terfikir apakah sebabnya?” tanya beliau dalam satu kenyataan, seperti di bawah.

Kehadiran kelab bintang ternama dunia Barcelona semalam mengundang perhatian dalam dan luar negara. Banyak pihak lontar perbagai bentuk komen selepas perlawanan semalam.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menghormati usaha gigih pasukan Malaysia dalam aksi semalam, namun SAMM tetap berpendapat aksi tersebut diumpamakan sebagai pertunjukkan ‘sarkis’. Tidak banyak faedah yang diperolehi dari perlawanan ini, tiada markah untuk perbaiki kedudukan pasukan kebangsaan dan hanya membiarkan kejatuhan moral pasukan apabila dibuli sedemikian.

Tidak dinafikan dalam perihal bola sepak ini ia perlu rombakan bukan saja dalam pasukan atau jurulatih tetapi organisasi FAM itu sendiri. Cukuplah puluhan tahun tanpa kejayaan bermakna, tiada konsistensi maka sampai masanya bolasepak negara diberi nafas baru. Jika dilihat pada sejarah, sejak tahun 1980-an bolasepak kita merundum, tidakkah terfikir apakah sebabnya?

SAMM tidak hanya komen berdasarkan prestasi pasukan Harimau Malaya tetapi ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia melihat di satu sudut, bagaimana regim penguasa ini kalau mahu mudah boleh dipermudah tetapi kalau mahu susah ia cukup menyusahkan. Perubahan venue ini cukup memudahkan bagi mereka yang berkepentingan apabila jualan tiket tiada sambutan maka diubah ke Stadium Shah Alam. Dari jumlah kehadiran semalam, sepatutnya perlawanan berlangsung di Stadium Darul Makmur sudah memadai.

SAMM juga mengajak rakyat berfikir beberapa persoalan yang tidak terjawab, yang perlu kita ungkit apabila perubahan venue berlaku dan soal kebenaran menggunakan Stadium Shah Alam:

1. Siapa yang beri kelulusan? MBSA cuti, bila boleh keluar surat kebenaran?
2. Adakah permit/lesen dikeluarkan? Bila permohonan dibuat?
3. Akta Perhimpunan Aman, bila dimaklumkan kepada Polis? Apakah notis 10 hari diberi?
4. Siapa yang bertanggungjawab jaga keselamatan stadium. Siapa yang nak bayar gaji kakitangan yang bertugas?
5. Apa kerajaan Selangor dimaklumkan?
6. Apakah FAS yang pegang kunci stadium bukan MBSA? Presiden FAS kena jawab isu ini.

Jika akta perhimpunan aman terpakai, maka Presiden dan Timbalan Presiden FAM perlu didakwa kerana tidak memberi notis 10 hari lebih awal?

Akhir sekali, apakah negara ini mungkin ‘mereka’ yang punya maka boleh buat sesuka hati hingga merundumnya sukan bola sepak negara.

Selasa, 12 Februari 2013

PRU13: Pakatan Perak akan kuasai 40 kerusi Dun

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar (gambar) berkata, Barisan Nasional negeri itu telah melakukan satu kesilapan besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada tahun 2009.

“Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib dihormati oleh semua pihak,” ujarnya yang juga Adun Tronoh dalam satu kenyataan.

Tetapi, katanya Barisan Nasional Perak kerana ketamakan kuasa telah merampas kerajaan rakyat itu dengan melanggar semua undang-undang yang sedia ada.

Ujarnya lagi, Barisan Nasional telah menubuhkan kerajaan melalui ‘Pintu Belakang’ yang tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu pun Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak ketika itu.

“Barisan Nasional mengharapkan bahawa peristiwa rampasan kuasa itu akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan oleh masa. Tetapi, andaian Barisan Nasional itu adalah tidak benar,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah membuat perhitungan yang terkeluar dari landasan apabila membuat andaian ‘rakyat Malaysia mudah lupa’.

Beliau berkata, peristiwa rampasan kuasa itu telah terpahat dalam sanubari setiap rakyat perak yang menghormati demokrasi, undang-undang dan keadilan.

Tegasnya, walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan Barisan Nasional Perak untuk mengalih perhatian rakyat Perak daripada isu itu, tetapi segala usaha itu terbukti gagal.

Rakyat, ujarnya  sedar bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah tidak sah atau ‘haram’ di sisi undang-undang.

“Rakyat Perak tidak akan membenarkan keadaan ini berterusan lagi. Negeri Perak memerlukan satu kerajaan  sah yang diberi mandat oleh rakyat,” katanya.

Justeru, katanya lagi masa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak sudah semakin hampir yang mana dalam sebulan dua ini Parlimen dan Dun Perak akan dibubarkan, maka Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan turun ke gelanggang pilihanraya.

Kali ini, ujar beliau Barisan Nasional pasti akan tumbang di Negeri Perak kerana kewibawaannya telah terhakis di bawah rejim Barisan Nasional yang tidak sah.

Katanya, rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang rasional dan membandingkan pemerintahan Pakatan rakyat selama 11 bulan dan pemerintahan Barisan Nasional selama 4 tahun selepas rampasan kuasa.

“Barisan Nasional tidak berjaya membawa apa-apa berubahan yang nyata di Perak. Banyak slogan-slogan retorik seperti  ‘Perak Aman Jaya’,  ‘Tiada Yang Tertinggal, Tiada Yang Terpinggir’ adalah  omong-omong kosong sahaja. Rakyat tidak boleh ditipu lagi dengan janji-janji manis yang tidak dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Tambahan pula, ujarnya rakyat Perak juga sedar bahawa dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini lebih daripada 68,000 ekar tanah di seluruh Perak telah diberikan kepada kroni-kroni Barisan Nasional dengan harga premium tanah yang terlalu murah.

Oleh yang demikian, katanya jelas bahawa rampasan kuasa pada tahun 2009 dilakukan adalah semata-mata untuk membolot kekayaan negeri  dan memewahkan lagi pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan kroni-kroninya.

Menurutnya, daripada analisa yang diperolehi daripada pelbagai sumber didapati bahawa Pakatan Rakyat Perak akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 59 kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri Perak.

“Kemenangan yang besar ini adalah perlu untuk  menjamin kesejahteraan  dan kedudukan kerajaan yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri Perak akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi bilangan kerusi dalam PRU13.

“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat negeri Perak akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

Sumber dari Harakahdaily

Khamis, 17 Januari 2013

Jamuan Hari Raya 2012 Pas Caw KDAS 3

Dakwaan lantik Nizar kerana rasuah diadu ke Istana Perak

Harakahdaily,17 Jan 2013
(Raja Iskandar membacakan kenyataannya kepada media selepas penyerahan memorandum)

IPOH: Ekoran dakwaan media Umno perlantikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak kerana rasuah dari Menteri Besar Kelantan, PAS Perak menyerahkan memorandum kepada Istana Perak hari ini.
Penyerahan itu diketuai oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pusat,  Dr Raja Iskandar Alhiss dan AJK Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria.

Blogger Pisau.net sebelum ini mendakwa Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah memberikan tanah kepada DAP Perak untuk membolehkan Nizar dilantik sebagai MB.

Laporan itu kemudiannya dipetik berminggu-minggu oleh media Umno khasnya Utusan dengan menyerang Tuan Guru Nik Aziz.

Beberapa hari lalu, blogger Pisau.net memasukkan 'ralat' dalam blognya bertajuk "Pembetulan Fakta Tanah Ngeh dan Nga di Kelantan"

Dalam ralat itu, Pisau.net memasukkan fakta bahawa "Raja Nazrin sendiri yang melantik Nizar pada ketika itu".

Kalimah Allah: Tiada ‘U-Turn’ Mursyidul Am PAS selari Majlis Syura

Harakahdaily,16 Jan 2013


Saya diarahkan untuk merujuk kepada laporan New Straits Times pada 15 Januari 2013 di muka hadapan yang membawa tajuk ‘NIK AZIZ MAKES U-TURN ON ‘ALLAH’ berkaitan dengan isu kalimah Allah yang dibincangkan di dalam Mesyuarat Syura Ulama PAS Pusat pada 13 Januari 2013. Sebagaimana yang telah dimaklumi bersama, Mesyuarat Syura Ulama pada tarikh tersebut telah membuat keputusan untuk tidak bersetuju kalimah Allah digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan GOD di dalam kitab Bible berbahasa Melayu.

Amat dikesali apabila New Straits Times di dalam laporannya pada 15 Januari 2013 tersebut membawa pemberitaan yang salah dan boleh mengelirukan apabila membawa tajuk tersebut. Begitu juga dengan Utusan Malaysia hari ini yang juga menggunakan perkataan ‘u-turn’ apabila merujuk kepada pendirian YAB Al-Mursyidul Am PAS dan Majlis Syura di dalam isu ini.

Suka untuk diingatkan bahawa tidak ada sebarang pusingan ‘u-turn’ khususnya yang melibatkan Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS dalam isu kalimah Allah ini. Ini dapat dilihat di dalam kenyataan awal beliau sebelum mesyuarat syura berlangsung bahawa non muslim perlu diberikan ruang untuk menggunakan kalimah Allah. Ini selaras dengan firman Allah SWT (yang bermaksud):” Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik)…” -Surah al-Ankabut, ayat 63.

Ayat ini jelas mendatangkan isyarat daripada Allah SWT bahawa ada di kalangan non muslim yang menyebut nama Allah SWT sebagai Pencipta Langit dan Bumi dan ia tidak ditegah. Inilah yang menjadi pegangan YAB Tuan Guru dan beliau konsisten dengan pegangan ini. Dalam erti kata lain, tidak ada mana-mana pihak yang boleh menutup ruang golongan non Muslim untuk menyebut nama Allah SWT dan merujuk nama tersebut sebagai Tuhan Semesta Alam dalam urusan seharian mereka.

Namun demikian, dalam isu terjemahan perkataan GOD daripada bahasa Inggeris kepada perkataan ALLAH dalam kitab Bible berbahasa Melayu, beliau sudah membuat penegasan awal bahawa isu ini akan dibincangkan di dalam mesyuarat syura yang akan berlangsung pada 13 Januari 2013. Majlis Syura atas sifatnya sebagai badan tertinggi parti akan melihat dari semua aspek pro dan kontra berasaskan nas-nas al-Quran dan Hadis untuk membuat keputusan berkaitan isu ini.

Sikap YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am ini dapat dilihat dengan jelas melalui laporan berikut:

1. Laporan News Straits Times sendiri pada 9 Januari 2013, halaman 6 di bawah tajuk Opposition coalition defies sultan’s decree yang antara lain memetik kenyataan YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am. Laporan tersebut memetik In Kota Baru, Pas spiritual adviser Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat said non-Muslims should have the opportunity to use the word Allah in their religion. “There are seven or eight verses in the Quran which relate to this situation, meaning that the use is not limited only to Muslims as it can also be used by non-Muslims,” he said after presenting appointment letters to municipal and district councillors here.
Nik Aziz said he would attend Pas’ syura consultative council’s meeting in Kuala Lumpur on Saturday where the party was supposed to officially decide on the matter. “If the council reaches a decision which is different from my personal view, I will adhere to its stand.”

2. Laporan Sinar Harian pada 9 Januari 2013, halaman 4 yang memetikMursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam bersetuju membuka ruang kepada orang bukan Islam menggunakan kalimah itu. Berdasarkan pandangan peribadi itu, beliau berkata ruang bagi membolehkan kalimah ALLAH itu digunakan adalah sebagai langkah untuk berdakwah kepada golongan bukan Islam. Bagaimanapun katanya, bagi menjelaskan pendirian Pas yang dipertikaikan sebelum ini Nik Aziz menegaskan keputusan muktamad adalah ditentukan pada Sabtu ini menerusi mesyuarat Ulama Syura Pas yang adakan diadakan di Kuala Lumpur.

Di dalam kedua-dua laporan tersebut yang dilaporkan oleh media massa bukan milik parti PAS, jelas menunjukkan sikap YAB Tuan Guru yang daripada awal lagi menyatakan persetujuan agar dibuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk menggunakan perkataan ALLAH dalam urusan mereka. Dalam masa yang sama, beliau juga telah menyatakan bahawa isu terjemahan GOD kepada perkataan ALLAH di dalam kita Bible akan dibincangkan di dalam mesyuarat syura.

Justeru, tidak ada mana-mana pusingan ‘U-Turn’ yang dibuat oleh beliau. Ini diperkukuhkan lagi dengan keputusan Majlis Syura yang bersetuju nama Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak bersetuju nama Allah menjadi terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat, mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.

Semoga dengan penjelasan ini, kekeliruan yang ditimbulkan oleh laporan New Straits Times dan Utusan Malaysia tersebut dapat dijernihkan.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankantugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh: 2 Rabiul Awwal 1433H bersamaan 16 Januari 2013M