Grab the widget  IWeb Gator

Ahad, 2 Mei 2010

Mafrel: SPR Perlu Kemuka Laporan Kepada Parlimen

SHAH ALAM 2 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)perlu menghantar laporan pilihan raya ke Parlimen supaya anggota Dewan Rakyat boleh membahaskan kandungan laporan bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat terhadap badan itu.
Pengerusi Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh sepanjang pengetahuannya SPR tidak pernah menghantar sebarang laporan kepada Parlimen untuk diteliti dan dibahaskan.
Beliau berkata ini adalah perlu bagi mengelak sebarang persoalan dan percanggahan pendapat yang timbul selepas tamatnya satu-satu pilihan raya.
"Walauoun SPR tidak diwajibkan untuk memberi laporan pilihan raya kepada mana-mana pihak amalan ini perlu diubah jika SPR ingin dilihat sebagai satu badan yang telus dan adil.
"Parlimen perlu mendesak dan meneliti laporan SPR setiap kali adanya pilihan raya sebagai satu kaedah kawalan untuk memastikan ketelusan SPR," kata beliau kepada Suara Keadilan.
Syed Ibrahim juga menambah keyakinan rakyat semakin berkurangan terhadap SPR dan pilihan raya yang dikendalikan badan itu kerana wujudnya pelbagai dakwaan kepincangan, yang terbaru semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Beliau menerangkan walaupun SPR memantau dan melaksanakan pilihan raya, isu salahlaku pilihan seperti aduan provokasi dan percanggahan tempat mengundi perlu dikemukakan kepada pihak polis untuk disiasat dan diambil tindakan.
Begitu juga jika terdapat aduan rasuah, perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Wujudnya halangan bidang kuasa SPR dengan PDRM dan SPRM menyebabkan sesuatu isu tidak dipantau oleh SPR tetapi SPR boleh mengambil inisiatif untuk memastikan isu tersebut diselesaikan," kata Syed Ibrahim.
Katanya lagi, perlu ada kemahuan dari pihak SPR untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan pilihan raya walaupun ianya di luar bidang kuasa SPR.
Dalam pilihan raya Hulu Selangor yang lalu, campurtangan pihak lain dalam urusan SPR perlu dihentikan bagi memastikan SPR mampu berfungsi sebagai badan yang bebas dan adil.
"Perlu ada satu reformasi besar di dalam SPR supaya campurtangan pihak lain dapat dihapuskan sama sekali dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada perlaksanaan pilihan raya oleh SPR," tegas Syed Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan