GOMBAK,30 Okt: Umno BN berjaya mencapai kemenangan dalam pilihanraya-pilihanraya lalu disebabkan perlaksanaan 21 strateginya sejak dulu yang terus meletakkan rakyat terutama orang-orang Melayu berada dalam kejahilan.
21 strategi tersebut merupakan perlaksanaan dasar-dasar yang tidak islamik termasuk dasar pendidikan kebangsaan yang berasaskan sekularisme.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, selain itu, Umno BN turut meletakkan orang-orang Melayu terus dalam kejahilan menerusi perlaksanaan sistem ekonomi yang tidak islamik.
Menurut beliau, manakala antara dasar-dasar lain pula termasuklah perlaksanaan dasar pelancongan, hiburan yang melalaikan dan sosial.
Katanya, keadaan itu ditambah lagi dengan penguasaan Umno BN terhadap media sehingga menyebabkan rakyat gagal mendapat maklumat yang benar dan adil.
"Itulah strategi Umno yang telah kita kenal pasti. Menerusi dasar-dasar itu, Umno turut berjaya mengikat para pegawai kerajaan agar terus menyokongnya.
"Fokus kita pula adalah dakwah. Tapi bagaimana nak buat kalau ilmu dan kebenaran tak boleh disebarkan dalam masyarakat," katanya pada Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Landskap Politik Semasa di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, semalam.
Selain beliau, turut menjadi ahli panel pada forum itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, manakala moderatornya Pengarah Akademik Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, Nazri Chik yang juga Exco dewan tersebut.
Forom tersebut diadakan sempena Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung selama 3 hari bermula semalam, dengan disertai ribuan pemimpin pemuda PAS termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.
Menurut beliau, walaupun begitu, PAS mesti terus bangkit untuk mengatasi masalah itu demi mendaulatkan Islam di tanah air dan bagi kepentingan seluruh akyat negara ini.
Katanya, matlamat perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di negara ini sejajar dengan kedudukannya sebagai gerakan Islam, manakala perjuangan PAS pula menerusi dakwah dan politik.
"Gerakan dakwah PAS adalah untuk membawa orang ramai khususnya yang bukan Islam mengenali tauhid, manakala kepada sesama umat Islam pula supaya mengenali syariat Islam," katanya.
Usaha tersebut, tegasnya, mestilah dilakukan secara berterusan tanpa mempedulikan segala halangan yang dibuat oleh Umno BN bagi menyekat perkembangan Islam di negara ini.
Menurutnya, sehubungan itu, PAS perlu menyusun strategi tersendiri untuk mengatasi segala halangan itu seiringan dengan perjuangan politiknya termasuk dengan mengadakan "Tahaluf Siyasi" dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
"Pihak mmusuh tidak akan berhenti untuk melemahkan gerakan Islam. Gerakan kita mestilah ada pertimbangan untuk menghadapi segala tekanannya," katanya.
Jika PAS, tegasnya, hanya memfokuskan kepada gerakan dakwah sahaja seperti yang dilakukan oleh sesetengah gerakan Islam lain sama ada di tanah air dan di seluruh dunia, ia pasti tidak berkesan.
"Sekiranya kita hanya memfokuskan kepada gerakan politik sahaja seperti juga yang dilakukan oleh sesetengah gerakan Islam lain di tanah air dan di seluruh dinia serta hanya bersendirian, nasib kita nanti samalah seperti Taliban," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan