Grab the widget  IWeb Gator

Sabtu, 17 November 2012

Muktamar: Harapan ahli bawahan

Muktamar PAS ke-58 yang berlansung pada 2-4 Muharram 1433H bersamaan dengan 16-18 November 2012. Dua hari sebelumnya telah diadakan terlebih dahulu muktamar peringkat dewan-dewan, iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Muktamar pada kali ini pasti mendapat perhatian ramai pihak, ditambah pula dengan kesabaran menanti tarikh PRU-13 yang masih belum dijumpai oleh Dato’ Seri PM. Secara lojiknya, muktamar ini pasti banyak memberi fokus kepada persiapan dan komitmen PAS dalam perjalanan menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan Pakatan Rakyat yang lain. Selain itu, beberapa isu besar yang berlaku sepanjang tempoh setahun yang lalu, pasti akan turut diketengahkan dan dibincangkan secara bersama nanti.

Hakikatnya, bukan sahaja para pimpinan PAS di semua peringkat yang teruja dan mengambil maklum akan perkembangan Muktamar ini nanti, tetapi ahli-ahli bawahan juga pasti turut ternanti-nanti akan hasil dan resolusi daripada muktamar ini - termasuklah saya sendiri. Pasti ahli-ahli bawahan ini mempunyai harapan dan hasrat masing-masing terhadap muktamar pada kali ini. Walaupun tidak dapat menyertai secara langsung dan dekat, namun ahli-ahli bawahan ini sedar bahawa para perwakilan yang telah mereka berikan amanah dan mandat untuk mewakili mereka, akan melaksanakan tanggungjawab seikhlas mungkin, dan dapat membawa suara mereka dan pandangan mereka ke peringkat yang tertinggi.

Ingatlah para perwakilan sekalian, kehadiran kalian ke muktamar ini bukanlah atas faktor individu, atau mewakili diri kalian sendiri, sebaliknya kalian mewakili kami semua, ahli-ahli bawahan. Kami mewakilkan diri kami kepada kalian, yang lebih layak dan mampu pada pandangan kami, untuk menyampaikan hasrat dan pandangan kami, agar Jemaah ini mampu bergerak dengan lebih lancar dan tersusun. Laksanakan amanah ini sebaik mungkin, dan jangan kalian mengkhianati kami. Jauhkan daripada membawa agenda individu, dan jangan sesekali kalian menggunakan medan muktamar ini untuk melakukan sesuatu di luar batas syariat Islam.

Ketahuilah para perwakilan sekalian, muktamar kita ini adalah lain daripada perhimpunan mahupun mesyuarat agung parti-parti pilitik yang lain, lain secara fizikal, lain secara rohnya. Muktamar kita ini di dalamnya dipenuhi dengan roh dan nilaian Islam, yang sering kita ajarkan dan tarbiyahkan kepada ahli-ahli semua peringkat. Cukuplah dalam mewakili kami ahli-ahli bawahan, kalian mengikhlaskan niat kalian dan menjaga adab dan akhlak sebagai seorang ahli gerakan Islam. Banyakkan bersangka baik dan berlapang dada sepanjang perjalanan muktamar ini nanti.

Saya berpendapat, tema muktamar pada kali ini iaitu “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan” dengan jelasnya dan tegasnya menunjukkan kesediaan dan kemampuan PAS untuk mentadbir Malaysia ini dengan lebih baik, berbanding apa yang telah dilakukan oleh BN selama ini. Sedangkan tema ini juga merupakan satu kesinambungan daripada tema muktamar yang lepas iaitu, “Membangun Negara Berkebajikan”, yang dilihat telah membuka mata ramai pihak akan kesediaan dan kemampuan PAS menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Sedarlah kita semua, bahawa sekarang ini rakyat sedang melambai-lambai, dan menghulurkan tangan penuh pengharapan, untuk melihat PAS bersama PKR dan DAP, mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, dan seterusnya membentuk sebuah pemerintahan yang lebih adil, bersih dan berkebajikan.

Sebagai ingatan kepada saya sendiri dan kepada kalian semua para perwakilan, bahawa kenderaan PAS ini bergerak dengan tiga agenda besar, iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah. Ya benar sekali, kita dalam fatrah persedian dan mood menghadapi PRU-13, jadi tidak salah untuk memberi fokus yang lebih kepada hal-hal siasah dalam muktamar ini nanti. Namun, harapan saya agar dua lagi agenda penting iaitu Tarbiyah dan Dakwah tidak dilupakan untuk disebut dan diperingatkan sepanjang muktamar ini nanti. Yang saya faham, tiga agenda ini sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Apalah gunanya, jika hanya agenda Siasah yang diberikan keutamaan, sehinggakan kita lupa untuk memuhasabah gerak kerja Tarbiyah dan Dakwah kita, yang saya yakin, dua agenda inilah yang akan menjadi asas kepada kemampuan kita untuk menyempurnakan amanah siasah yang besar kelak.

Sepanjang pemerhatian saya yang serba terbatas dan lemah ini, banyak kelompongan dan kekurangan dalam gerak kerja tarbiyah dan dakwah yang perlu dinilai dan dimuhasabah bersama. Hal tarbiyah ini adalah berkaitan kefahaman ahli-ahli gerakan. Bagaimana mungkin jika masalah kefahaman ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, Jemaah mampu melahirkan ahli yang komited dan bersedia untuk bersama-sama mentadbir negara kelak? Kita tidak mahu segala penyakit yang menimpa Umno-BN semasa memerintah negara, berjangkit kepada ahli-ahli kita kelak. Justeru, amatlah penting untuk kita mempersiapkan semua ahli dari awal lagi, dan memberikan kefahaman yang sejelasnya, agar tidak berlaku sebagaimana yang menimpa Umno-BN. Semua ini adalah berkaitan Tarbiyah dan Dakwah.

Semoga Muktamar PAS ke-58 ini berjalan dengan lancar dan diberkati Allah SWT. Selamat datang kepada semua perwakilan ke Negeri Kelantan Darul Naim. Semoga kehadiran kalian ke negeri ini membawa rahmat dan berkat. Selamat bermuktamar. Barakallahu lakum.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan