Grab the widget  IWeb Gator

Ahad, 31 Oktober 2010

Piala Malaysia: Hadiah sempena 20 tahun Kerajaan PAS

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
 merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan yang
memenangi Piala Malaysia 2010 malam tadi.
Ustaz Hadi berkata, kemenangan itu merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan
sempena 20 tahun pemerintahan Islam di negeri itu.
"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan
kerana telah menjuarai Piala Malaysia 2010.
"Jadikanlah ia sebagai hadiah sempena perayaan 20 tahun Kelantan Membangun
Bersama Islam," tulis beliau di laman sosial facebooknya pagi tadi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan yang telah
 menunjukkan permainan yang cemerlang dan semangat berpasukan  sepanjang
perlawanan berlangsung.
"Syabas untuk Negeri Sembilan yang bertungkus-lumus untuk mempertahankan
kejuaraan," katanya lagi.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut mengucapkan
tahniah kepada The Red Warriors  berharap kemenangan itu turut dibawa ke Galas
 dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
"Tahniah kepada Kelantan juarai Piala Malaysia. Galas Piala Malaysia lepas ni Galas
 untuk PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.
Kemenangan Kelantan di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi menebus kehampaan
tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga
 Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali
pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali
sebagai Piala H.M.S Malaya.
Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan
penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.
Kelantan memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila hantaran
luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan ketua pasukan, Hairuddin Omar yang
 menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.
Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik
 Mohd Norfarhan Muhamad.
Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, menggembirakan sekurang-kurangnya
 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.
Turut mengucapkan tahniah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.
"Tahniah daripada DPPP Kelantan bawa pulang trofi Piala Malaysia. Ia jadi hadiah
untuk pemerintahan Tok Guru Nik Aziz dan juga Sultan baru," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji
 akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan
 peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan