Grab the widget  IWeb Gator

Jumaat, 25 November 2011

Air: Utusan cuba perbodoh rakyat Kelantan


KOTA BHARU, 24 Nov: Biar pun lima siri laporan khas dimuat Utusan Malaysia bagi memburukkan Kelantan berkaitan isu bekalan air bersih, namun ia dianggap belum mampu mengocak jiwa rakyat.
Ini kerana setiap hari mereka boleh minum, mandi, membasuh dan apa-apa sahaja kegiatan menggunakan air bersih dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Malah, pelabur tetap memilih Kelantan sebagai destinasi pelaburan mereka. Seandainya bekalan air di sini kritikal mengapa mereka memilih mengembangkan operasi perniagaan di Kelantan.
Apakah agenda setting Utusan peringkat tertinggi itu mampu memperbodohkan rakyat Kelantan. Jawapannya tidak.
Begitu juga dakwaan isu air dicemari bakteria E.coli, mangan dan arsenik, sedangkan kadarnya lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.
Misalnya kadar kandungan E.coli di Kelantan hanya sekitar 0.88 peratus berbanding Pahang (1.12 peratus),  Perak (0.90 peratus), Perlis (1.21 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1.01 peratus).
Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanafi Mahmud berkata, kadar kandungan bakteria E.coli hanya dalam peratusan kecil, dan diatasi segera setelah dikesan kandungannya.
Lagi pun katanya setiap minggu sampel air di semua loji rawatan air AKSB dihantar ke Pejabat Kesihatan untuk dianalisis.
”Setakat ini tiada pun teguran dibuat jabatan terbabit berkaitan isu yang ditimbulkan sebuah akhbar arus perdana sekarang,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (kiri) berkata, sebanyak 3531 sampel air dianalisis Jabatan Kesihatan dan hanya 31 kes sahaja dikesan ada kandungan E.coli.
”Persoalannya sekarang mengapa Kelantan sahaja yang digegerkan dalam media sehingga setiap hari disiarkan kenyataan negetif.
”Ini seolah-olah menggambarkan negeri lain tidak ada E.coli. Tidak selamanya rakyat mudah ditipu dengan maklumat berat sebelah seperti yang menjadi mainan Utusan Malaysia sekarang,” katanya di sini.
Malah kata beliau akhbar terbabit juga lupa tanggungjawab menyediakan perkhidmatan bekalan air adalah di bawah kerajaan pusat, dan kerajaan negeri cuma menyalurkan sumber air.
”Mengapa mereka tidak cuba rujuk kepada perlembagaan yang secara jelas menerangkan perkara itu. Jangan cuba hendak kelirukan rakyat.
”Memandangkan tugas tersebut tidak dilaksanakan kerajaan pusat, kerajaan negeri terpaksa mengambil alihnya bagi memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat.
”Cuba bayangkan pula usaha kerajaan negeri mahu meningkatkan bekalan air tidak mendapat kerjasama kerajaan pusat dalam tempoh begitu lama.
”Selama 13 tahun Kelantan diketepikan mendapat sebarang peruntukan. Usahkan peruntukan, pinjaman pun tidak diberi pada awalnya,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu prasarana bekalan air tetap juga dipertingkat termasuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan.
Hanya pada 2003 barulah pinjaman mudah diluluskan sebanyak RM600 juta, itu pun diberi bukan sekaligus, sebaliknya sedikit demi sedikit.
Menurutnya Md Anizam hasil kesungguhan kerajaan negeri sehingga sekarang hampir 70 peratus rakyat Kelantan mendapat bekalan air bersih disediakan AKSB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan