KUALA LUMPUR, 7 Jun: Para pemimpin Umno benar-benar terpukul dengan apa yang dicapai dalam muktamar PAS ke 57 baru-baru ini, kata AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, ia dibayangkan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin bawahan Umno yang agak tahu agama termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya.
"Ketika pemimpin bawahan mereka meminta Umno mencontohi sikap yang ditunjukan PAS dalam muktamar baru- baru ini, pemimpin atasan Umno cuba melaga-lagakan PAS dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan juga dalaman PAS sendiri.
"Inilah sebenarnya permasalahan dalam Umno. Apabila mereka jengkel dan cemburu dengan pencapaian PAS, mereka cuba melagakan kita pula," kata Dr Dzulkefly mengulas kenyataan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Nazri Aziz serta Tun Dr Mahathir yang cuba melagakan antara pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.
Bagi beliau, Umno tahu, team yang dibentuk oleh perwakilan muktamar tahunan PAS ke 57 baru-baru ini adalah pasukan yang bakal menghancurkan penguasaan Umno.
"Mainan jahat media Umno ini nyata semuanya helah untuk akui PAS telah lakukan tranformasi yang diperlukan semua rakyat negara ini," kata beliau.
Perkara ini berlaku ketika wajah Umno menjadi begitu hodoh apabila cuba menggunakan Islam untuk kepentingan politiknya.
"Sikap dan tindakan Umno menghasilkan Islam itu bersifat eksklusif untuk umat Islam sahaja, ekstrem, takutkan orang dengan kepala lembu, orang lain tidak boleh baca al Quran dan sebagainya," kata Dr Dzulkefly (gambar).
Beliau juga mendakwa, tindakan Umno melalui agen-agennya seperti Perkasa telah menyebabkan para penganut agama lain rasa tidak senang dan takut kepada Islam.
"Malam tadi saya sertai satu program dialog dengan pemimpin agama lain dan Pakatan. Jelas mereka menyambut baik apa yang berlaku dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata beliau.
Turut serta dalam dialog itu adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Siti Mariah Mahmod, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS.
"Apa yang dibangkitkan para pemimpin Umno bukan isu sebenarnya tetapi akibat dari mereka rasa terpukul dengan apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini.
"Muktamar telah memberikan nafas baru kepada PAS yang dilihat sangat berintergriti, bernafas baru dan memberikan harapan baru kepada rakyat.
"Bagi saya, Umno bimbang, pasukan ini bakal meraih kemenangan yang lebih besar dari pilihan raya umum 2008 lalu," katanya lagi.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan