Grab the widget  IWeb Gator

Selasa, 20 September 2011

Lagi peneroka Jengka saman Felda RM510 juta


TEMERLOH, 19 Sept: Felda bakal berdepan musibah terbaru sebaik menerima tuntutan saman lebih RM510 juta dari peneroka di kawasan Jengka, Pahang dalam jangka masa terdekat.
Ini berikutan 345 lagi peneroka menyerahkan borang waran pelantikan peguam yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menyaman Felda di kawasan itu setakat ini adalah seramai 1,056 orang, laporKeadilan Daily.
Pada Julai lalu, Felda disaman oleh 711 peneroka di kawasan itu, selain deretan saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said dalam laman blognya mendedahkan, jumlah tuntutan oleh 1,056 peneroka terbabit merupakan jumlah terbesar setakat ini.
“Jumlah tuntutan sebanyak RM510,048,000.00 merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda,” katanya.
Lanjutan dari kes ini, Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka terbabit mengadakan Majlis Penyerahan Borang Pelantikan Peguam yang disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya di Markaz PAS Felda Jengka 17, semalam.
(Gambar: Latheefa Koya menerima borang waran pelantikan peguam dari sekumpulan wakil peneroka Jengka sambil disaksikan Suhaimi Said.)
Menurut Suhaimi, saman itu dikemukakan berikutan peratusan kadar perahan gred (KPG) buah sawit yang dimanipulasi oleh Felda dan kilang-kilang Felda.
“Mereka (peneroka) menuntut buah sawit yang ditolak oleh kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang, walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20 peratus.
“Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke makmal dan disahkan peratusan perahan KPG (Kadar Perahan Gred) tidak pernah menurun dari 27 peratus sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka di atas kadar perahan antara 17 peratus hingga 19 peratus.
“Ini mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka,” kata Suhaimi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan