KUALA LUMPUR, 5 Sept: Umno telah mengguris hati rakyat Johor
kerana mendakwa Mat Indera (gambar) adalah pengkhianat bangsa. Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, Umno tidak cermat
mengulas isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong yang membabitkan
Mat Indera. "Mereka (Umno) telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa
Mat Indera pengkhianat bangsa. Sedangkan dalam buku Pengukir
Nama Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang bangsa,” ujarnya
dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan
Yayasan Warisan Johor itu dinaungi oleh Menteri Besar,
Datuk Abdul Ghani Othman sendiri. "Saya sebagai Ketua Pemuda PAS Johor sangat kecewa dengan tindakan Umno
yang tidak mengiktiraf jasa Mat Indera. "Saya yakin seluruh rakyat negeri Johor terguris dan kecewa dengan tindakan
Umno,” ujarnya. Di akhir biografi ringkas Mat Indera di dalam buku tersebut, penulis ada menyebut:
"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Mat Indera adalah seorang
yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya,
dan emosinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi.
Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela
mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara
yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan
namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Sementara itu, walaupun Mat Indera dikaitkan dengan peristiwa serangan Rumah
Pasung Bukit Kepong, namun menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama
Abu Bakar yang terselamat dalam serangan, Mat Indera tidak menyerang. Beliau sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis. Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang
diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan
mabuk pada malam Tahun Baru Cina. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan