Bertakbir
Takbir bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya iaitu ketika imam berkhutbah. Firman Allah ‘Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjukNya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur’ – Al Baqarah : 185. Juga disunnahkan untuk bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri dengan suara lantang bertujuan menyerlahkan syiar Islam.
Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri
Diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Al ‘Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya “Apabila para sahabat Rasullulah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yg lain ‘taqabbalullah minna waminkum (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) – rujuk Fath Al Bari, al-Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani , jil. 5, ms 270-271, menurut beliau, hadis ini berstatus hasan.
Mandi di pagi hari raya
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat solat Aidilfitri. Ali bin Abi Talib r.a pernah ditanya mengenai mandi, adakah diharuskan mandi setiap hari maka beliau menjawab:
“Tidak harus melakukannya namun mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri”- hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al Syafi’I, jil. 1, ms 118-119.
Makan sebelum solat Aidilfitri
Menurut al Muhallab r.h “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah ingin menutup prasangka sebegini – rujuk Fath a-Bari, jil. 5, ms 272. Anas bin Malik r.a berkata “Rasulullah s.a.w memakannya (kurma) dalam jumlah yang ganjil” – hadis riwayat al Bukhari di dalam sahihnya no. 953.
Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan kaum muslimin menghias diri dengan pakaian yang indah pada hari raya. Imam Syafie r.h berkata “aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu hari jumaat, dua hari raya dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju bersih dan memakai wangi-wangian (lelaki sahaja)”– rujuk ringkasan kitab al Umm, Imam al Syafi’I , jil 1, ms 327.
Berjalan kaki menuju tempat solat hari raya
Ali bin Abi Talib r.a berkata, “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat”. – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no. 487.
Mengikut jalan berbeza ketika pergi dan kembali dari solat hari raya
Jabir bin Abdullah r.a berkata, “Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya”. –Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih, no. 986. Ada pendapat mengatakan hal ini agar dapat bersalaman dengan orang yang melalui kedua-dua jalan. Ada juga pendapat mengatakan supaya menampakkan syiar Islam di jalan-jalan dan memberikan pertolongan kepada yang memerlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan